Sunday, August 21, 2011

PM: Syarikat bumiputera dibantu


NAJIB Tun Razak diiringi Abdul Rahim Tamby Chik bersalaman dengan para peserta selepas merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di UiTM Shah Alam, semalam. – BERNAMA

Oleh HELMI MOHD. FOAD
dan RAJA SHAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 Ogos – Kerajaan akan membantu membangunkan syarikat-syarikat bumiputera melalui pelaksanaan sistem meritokrasi bagi memastikan hanya usahawan yang berkemampuan dan tulen dapat dilahirkan, sekali gus menjayakan agenda memajukan ekonomi masyarakat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi tujuan itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sedang dalam proses membantu menyenaraikan sejumlah 1,100 syarikat bumiputera ke dalam Bursa Malaysia dan program tersebut akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.

Menurutnya, format tersebut diyakini akan lebih berjaya berbanding dahulu iaitu golongan bumiputera diberi saham sehingga mencecah RM60 bilion, tetapi sekarang hanya tinggal RM2 bilion.

“Kita kenal pasti syarikat yang boleh disenaraikan di bursa saham, kalau dapat sedikit pertolongan kerajaan, dia boleh. Setakat ini nilai saham hampir RM1 bilion.

“Dalam masa terdekat ini, kita akan bentangkan syarikat tersebut. Ini satu cara baik kerana cara dulu dia tidak dapat bertahan dan tidak mapan sebab tiada kemampuan hendak pegang saham, jadi kalau beri saham, bila harga naik dia jual saham itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Hadir sama pada konvensyen dua hari itu ialah Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan tersebut tidak mengamalkan kaedah ‘siapa yang kamu kenal’, tetapi tahu bagaimana menjalankan operasi perniagaan dan cara itu sekali gus dapat menghapuskan kronisme dan ketirisan dalam pemberian projek dan tender kerajaan.

“Ada orang datang jumpa saya minta tandatangan tetapi apabila diselidik di belakangnya sebenarnya bukan bumiputera. Sewaktu saya menjadi Menteri Besar Pahang dahulu, apabila saya perhati di tempat letak kereta, dia sudah berurusan dengan orang lain. Dapat kawasan balak kemudian jual kepada orang lain.

“Istilahnya let go, jadi berlaku ketirisan. Kalau begitu tunggu sampai kucing bertanduk pun kita tidak akan maju dan kalau tidak ubah sikap sampai bila pun kita akan bergelut isu yang sama,” tegasnya.

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan akan mempertimbangkan resolusi yang dihasilkan melalui konvensyen tersebut bagi membolehkan ia menjadi input kepada penambahbaikan agenda bumiputera yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Percayalah, kerajaan amat komited untuk melakukan proses transformasi menjadi negara maju menjelang 2020 dengan negara mempunyai pendapatan tinggi supaya kemakmuran (ekonomi) boleh diagihkan. Kalau negara tiada pertumbuhan dan tidak berkembang lima atau enam peratus, bagaimana hendak agihkan kepada semua,” katanya.

Keduanya jelas Perdana Menteri, kerajaan juga akan memastikan kekayaan diagihkan secara adil dan saksama iaitu dengan mengambil kira keperluan masyarakat di pedalaman yang memerlukan satu dasar bagi membantu mereka untuk turut berjaya.

“Ada orang kata sudah sampai masanya tidak perlu lagi tindakan afirmatif, kuota tak perlu, sudah sampai masa kita amalkan masyarakat meritokrasi. Saya kata orang bukan Melayu kaya, tetapi mereka kaya sebab negara kita stabil, ditadbir urus dengan baik. Sejak dulu lagi, siapa bagi lesen beras, lesen bank, lesen gula, sebab itu mereka berjaya, sebab kepemimpinan Melayu adil.

“Namun, jangan mereka tidak bertimbang rasa kepada orang Melayu. Orang Melayu sebahagian besar berada di luar bandar, masih perlukan pertolongan daripada kerajaan melalui dasar yang menguntungkan semua pihak sebab kalau kita hendak laksanakan meritokrasi sepenuhnya, tak adil,” katanya.

Najib juga menyeru golongan bumiputera agar menyesuaikan diri dengan struktur baru ekonomi melalui perhubungan yang konstruktif sesama mereka.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm)ARKIB : 20/08/2011

1 comment:

Anonymous said...

Pengerusi GABEM tu tak ada lain orang ke yang lebih layak?

Apalah NGO jenis macam ni yang ada Pengerusi yang tak bermoral?

Orang gila seks video pulak tu!