Friday, April 23, 2010

Undi Calon BN Demi Pengaruh Politik Orang India - PM

BERITA nStar online
Khamis April 22, 2010
Undi Calon BN Demi Pengaruh Politik Orang India - PM

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

RAWANG: Masyarakat India diseru supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN) daripada MIC bagi memastikan suara mereka berpengaruh dalam politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, peluang yang diberikan oleh BN kepada parti kaum India itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor perlu dihargai.

"Kalau mereka (kaum India) nak memainkan peranan dan pengaruh dalam politik negara kita terutama sekali MIC, maka semua warga negara Malaysia terutamanya keturunan India mesti sokong calon kita.

"Mereka tak banyak kerusi, (oleh itu) calon inilah yang mesti disokong oleh mereka," katanya di sini malam ini.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN, yang diwakili oleh Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertaruhkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Selain itu Najib berkata, kerajaan BN selama ini sentiasa mengamalka konsep permuafakan dalam agihan kuasa bagi memastikan kestabilan politik negara terpelihara.

"Masa depan negara bergantung kepada kestabilan politik, tengoklah permuafakatan kita ini cantik, kita boleh bertolak ansur walaupun kerusi ini majoritinya orang Melayu.

"Tapi kita bagi kepada MIC kerana kalau kita nak kira majoriti, tak ada satu pun kerusi Parlimen yang keturunan India ada majoriti.

"Jadi sampai bila mereka (ada peluang) wakil Parlimen? Sampai kiamat pun tak ada wakil," katanya.

(sumber;http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/4/22/mstar_berita/20100422001135&sec=mstar_berita)

No comments: