Monday, January 25, 2010

Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat


Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat

JOHOR BAHRU 23 Jan. - Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot menyifatkan Almarhum Sultan Iskandar merupakan seorang insan yang cukup istimewa kerana baginda merupakan satu-satunya Sultan atau Raja di negara ini yang pernah menyampaikan khutbah di masjid-masjid.

''Semasa sihat baginda akan mengutuskan untuk menunaikan sembahyang Jumaat di masjid utama di daerah-daerah dan atas kesediaan, baginda menzahirkan hasrat untuk menyampaikan khutbah di masjid terbabit.

''Ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat khasnya masyarakat Islam di negeri ini,'' katanya.

Beliau yang pernah menjadi Timbalan Mufti dan Mufti Johor selama 10 tahun berkata, itulah keunikan dan kelebihan yang ada pada baginda.

Nooh berkata, pada dasarnya baginda seorang Sultan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya terutamanya mengenai agama Islam.

Menurutnya, semasa menjadi mufti beliau dikurniakan darjah kebesaran antaranya Pingat Ibrahim Sultan (PIS), Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Setia Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Lama Dalam Perkhidmatan (PLP).

''Sebagai tanda kasih dan sayang saya terhadap baginda, malam tadi saya bersama Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin serta beberapa imam dan pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak tidur hinggalah ke saat pemakaman baginda.

''Kami bersama kerabat diraja Johor hinggalah saat baginda menghembuskan nafas terakhir telah menguruskan upacara pemakaman baginda dengan harapan berjalan lancar. Ini merupakan sumbangan terakhir saya untuk Almarhum yang amat dikasihi,'' katanya.

Nooh berkata, Istana Besar akan mengadakan bacaan tahlil selama tiga hari berturut mulai malam ini, manakala masjid-masjid di daerah-daerah akan mengadakan perkara sama untuk tempoh berkenaan.

''Sama-samalah kita berdoa agar roh baginda ditempatkan bersama roh-roh orang yang soleh dan mendapat keampunan, rahmat daripada Allah SWT," katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm)

No comments: